Saturday 1 November 2014

Ini Sejarah Kita

Siapa kita di sini..
Siapa kita hari ini.
Adalah kerana hari kelmarin
Dan sebelumnya
Kerana hari ini mungkin lebih baik
Dari sebelumnya
Atau mungkin juga tidak
Kerana hari ini mungkin lebik buruk
Dari sebelumnya

Siapa kita di sini..
Siapa kita hari ini..
Adalah kerana insan-insan yang hadir
Sebelum kita
Kerana mereka meninggalkan legasi
Kerana mereka meninggalkan panduan
Kerana mereka lebih makan garam
Kerana mereka meninggalkan sebuah kisah
Atau mungkin juga tidak
Kerana kita tidak menyambung perjuangan mereka
Kerana kita tidak mengikuti panduan mereka
Kerana kita belum rasa apa yang mereka rasa
Kerana kita lupa apa yang terjadi
Pada mereka


Siapa kita di sini..
Siapa kita hari ini..
Adalah kerana Allah
Kerana Dia yang menciptakan kita
Kerana Dia yang merancang kehidupan kita
Kerana kita telah berjanji di alam sebalumnya
Atau mungkin juga tidak
Kerana kita lupa siapa yang mewujudkan kita
Kerana kita angkuh berkata
Siapa kita di sini
Siapa kita hari ini
Adalah hasil usaha kita
Dan mungkin kerana kita lupa
Akan persaksian kita.






Tuesday 15 July 2014

Ramadhan di Gaza


Gaza itu tanah rebutan
Tanah itu tanah impian
Tanah yang melahirkan para pejuang
Yang sentiasa subur dibajai darah
Ramadhan ini Gaza itu bergegar lagi
Bersahur mereka di pagi hari
Iftar mereka belum tentu di sini
Detik malam mereka sentiasa hidup
Dengan sujud pada Illahi
Saat siang mereka sentiasa bangkit
Mempertahankan tanah yang disayangi
Mewakili seluruh Muslim di Bumi
Kerana kemenangan itu sesuatu yang pasti
Ramadhan ini, di Bumi Gaza itu
Setiap tubuh yang bernyawa masih berdiri
Tanpa mahu melarikan diri
Kerana Al-Qassam mempertaruhkan diri
Kerana Allah sentiasa menaungi
Kerana keyakinan tak berbelah bagi
Dan mereka tak mengharapkan Aidilfitri

15 JULAI 2014/17 RAMADHAN 1435 HIJRAH



Monday 23 June 2014

Pensil Dan Pemadam

Pensil dan pemadam sentiasa bersama
Tak boleh terpisah
Kerana pensil perlukan pemadam
Kalau pemadam tiada
Pensil tak dapat betulkan kesalahannya
Kadang-kadang salah melakar
Kadang-kadang salah mengeja
Kadang-kadang pula salah mengira

Hari demi hari
Pemadam setia membetulkan kesalahan
Sehinggalah suatu hari
Pensil menyedari
Pemadam tidak lagi seperti biasa
Bentuknya kian berbeza
Lalu pensil bertanya kenapa
Pemadam bercerita itu adalah kesannya
Menghapus kesalahan pensil
Maka menangislah pensil meratapi
Betapa dia tak pernah peduli
Betapa dia tak berhati-hati
Setiap kali melakar di lembaran putih
Saat itu dia berjanji
Berjanji untuk tidak melukai pemadam lagi
Kerana dia sedar jauh di sudut hati
Pemadam itu amat disayangi.



Friday 28 February 2014

Alkisah Seorang Ibu

Al kisah seorang ibu...
Membimbing jalan anak tercinta
Tergolong kalangan kurang upaya
Kelihatannya dia resah
Ke sana ke mari bertemu misi
Sambil kalendar dipandang teliti
Lagaknya seperti pembantu peribadi

Ya, dia pembantu peribadi
Buat si anak yang tak bisa mengurus diri
Yang jalannya perlu diawasi
Tentang dirinya yang tak punya tangan kiri
Yang sedang marah-marah
Sakit barangkali

Aku melihat wajah ibu itu
Jernih sekali
Tiada kerut di dahi
Tiada riak segan menggarisi
Tiada kesan-kesan menangisi
Bahkan senyum yang sentiasa terukir
Membuatkan hati ku sesejuk air yang mengalir

Seusai urusanku
Ibu itu tidak terlihat di mana-mana lagi
Barangkali sudah pergi
Moga Allah memberkati
Memudahkan urusannya
Kerana kasihnya dia pada amanahnya
Semoga waktu menemukan kita lagi.