Saturday 30 November 2013

Khilaf

Dalam sehari detik yang berlalu
Terkadang ada waktu-waktu kita terlepas pandang
Terlepas pandang percakapan kita
Terlepas pandang perbuatan kita
Terlepas pandang tentang orang-orang di sekeliling kita
Tanpa kita sedar
Kesilapan yang tak sepatutnya terjadi
Itulah yang berlaku
Tanpa sempat kita sedar
Mereka berjauh hati
Mereka sakit hati
Mereka mengukir rasa benci
Dan apabila kita menyedari
Akan khilaf kecuaian diri
Ada suara-suara mencemuh kedengaran
Ada mata-mata jelik memandang
Ada rasa panas bertebaran
Dan rasa bersalah itu tak mampu lagi berjauhan
Dan lafaz kemaafan itulah yang diharapkan
Atas kesilapan yang tak disengajakan

Disebalik kegelisahan yang memburu
Curi sedikit masa bertanya pada dirimu
Mengapa khilaf ini berlaku?
Buka luas-luas matamu
Mengapa kau di uji sebegitu?
Bentangkan kelapangan hatimu
Sesungguhnya itu ketentuan Rabb mu
Barangkali Dia mahu menegur kepincangan akhlakmu
Barangkali Dia tak mahu mereka bersama denganmu
Barangkali Dia mahu didik kekentalan hatimu
Barangkali Dia mahu menyatakan rindu
Rindu pada munajat zikir mu
Rindu pada rintihan permintaanmu
Rindu pada tangisan airmata penyesalanmu
Barangkali Dia mahu memberitahu
Tempatmu bukan di situ.

Dan ketika hatimu resah bertalu
Kerana satu dunia berpaling darimu
Pujuklah ia akan hikmah yang bakal bertamu
Katakan padanya manusia memang begitu
Berbuat salah bagaikan sesuatu yang perlu
Kerana manusia tak sempurna seperti Dia Yang Satu
Kerana kita insan biasa yang tidak maksum
Sesungguhnya Allah Maha Tahu
Apa yang terbuku dalam hatimu
Hanya redhaNya yang kita perlu

Jadi, andai tiada sesiapa yang berpihak padamu
Hanya kerana sepincing khilaf yang lalu
Teguhkan langkah kakimu
Atas jalan yang terhampar di hadapanmu
Kerana akan tiba satu waktu
Suara-suara tadi diam membisu
Mata-mata tadi tak terarah padamu
Dan panas membahang tadi sejuk membeku
Dan sebelum semua itu berlaku
Kembalikan, sandarkan hatimu
Pada Dia yang tak akan pernah mati.


Saturday 23 November 2013

Pengajaran Dari Sebuah Kisah

Semalam dan hari ini dua kali berturut-turut mendengar cerita kisah pemuda yang membunuh 99 orang, kemudian menemui ahli ibadat dan bertanya adakah jalan untuk dia bertaubat lalu ahli ibadat tersebut menjawab tidak ada taubat bagi pemuda itu, kecewa dengan jawapan tersebut maka dibunuh nya ahli ibadat tersebut menjadikan bilangan orng dibunuhnya 100 orang. Kemudian dia berjalan lagi dan menemui orang alim dan bertanyakan hal yang sama lalu orang alim itu menjawab " keluarlah kamu wahai pemuda dari kampung yang penduduknya yang jahil, pergilah kamu ke sebuah kampung yang mana penduduknya merupakan orang yang salih. Maka berjalanlah pemuda tersebut menuju kampung yang dimaksudkan, dalam perjalanan tersebut beliau meninggal dunia, lalu berebutlah malaikat azab dan malaikat rahmat akan hak ke atas roh pemuda tersebut. Malaikat azab mengatakan bahawa pemuda itu miliknya kerana seumur hidupnya tidak pernah berbuat kebaikan malah sentiasa melakukan kejahatan, maka nerakalah tempatnya, akan tetapi malaikat rahmat mengatakan pemuda tersebut miliknya kerana beliau dalam perjalanan menuju kebaikan. Lalu Allah mengutuskan malaikat lain untuk meleraikan persengketaan tersebut dengan memberi penyelesaian supaya mengukur jarak tempat pemuda tersebut meninggal dengan kampung yang ditinggalkan dan kampung yang ditujuinya, yang mana lebih dekat maka pemuda itu miliknya. Setelah diukur nyatalah tempat pemuda tersebut meninggal lebih dekat dengan kampung ditujuinya dengan kelebihan sejengkal ke atas kampung yang ditinggalkan. Maka pemuda itu menjadi milik malaikat rahmat dan rohnya dibawa ke syurga.

Pengajaran hari semalam: Terdengar seorang ustaz memberi tazkirah di TV9 menceritakan tentang jiran, beliau meng'hilight'kan cerita ini untuk memberi gambaran tentang jiran yang baik akan memberi kesan yang baik kepada kita begitulah juga sebaliknya. Beliau juga menyatakan, sebelum mencari tempat tinggal hendaklah diselidiki siapa orang yang bakal menjadi jiran kita,jika mereka jiran yang baik maka tinggallah di situ jika tidak usahalah mencari tempat yang lebih baik. Jika sekiranya kita tiada pilihan lain, tinggallah di situ dan jadilah jiran yang baik kepada jiran kita supaya kita dapat memberi kesan kepadanya seterusnya dia turut menjadi jiran yang baik.

Pengajaran hari ini: Dr. Ala'a Hosni meng'hilight'kan kisah ini bagi menerangkan kepentingan persekitaran yang baik (good environmnet) dalam keluarga Islam akan melahirkan generasi pemuda Islam yang berkualiti untuk meneruskan legasi kegemilangan Islam. Untuk melahirkan suasana yang baik dalam keluarga komunikasi dua hala antara suami-isteri dan ibubapa-anak2 sangat lah penting,hormat menghormati, menggunakan perkataan yang baik, berlaku jujur, berbincang bagi setiap permasalahan yang berlaku dan yang paling penting bersikap terbuka sesama ahli keluarga. Selain itu, untuk menghasilkan suasana yang baik dalam rumah tangga ialah dengan memasang alunan ayat suci al-Quran di dalam rumah, bersolat jama'ah, halaqah mingguan, dekorasi rumah yang Islamik dan yang paling penting mesti ada satu perpustakaan bagi mendidik ahli rumah belajar mencintai ilmu..wallahualam

Wednesday 15 May 2013

Wanita Itu Dihatiku

Wanita itu seorang ibu
Di hatiku dialah ratu
Umpama dirimu gedung ilmu
Terselindung di sebalik kasihmu
Terzahir dari matamu yang redup sayu

Wanita itu seorang ibu
Di hatiku dialah segalanya
Meski bersama sedetik cuma
Masih ku ingat waktu itu
Aku didakap mesra
Selayaknya sebagai puterimu
Meski saat itu kau menderita
Hanya menanti ajal tiba

Wanita itu seorang ibu
Dihatiku kaulah inspirasi
Kau punya ketabahan hati
Setiamu tak pernah pergi
Sayangmu tak pernah mati
Selagi nafasmu belum berhenti
Sifatmu ingin ku warisi

Wanita itu seorang ibu
Dihatiku dialah segalanya
Namun terlalu cepat kau pergi
Menyahut seruan Illahi
Saat aku masih lagi umpama bayi
Yang belum lagi mengerti
Apa itu yang perlu ditangisi
Jua meratapi sesuatu yang telah pergi

Wanita itu seorang ibu
Diriku adalah dirimu
Lihatlah aku anakmu
Yang kini sudah dewasa
Sedang berkorban masa dan tenaga
Bertarung dengan kemelut dunia
Demi sebuah cita dan cinta
Bertemankan airmata
Namun aku tetap tabah
Sepertimana kau mengharunginya
Kerana aku adalah kamu.





Sunday 12 May 2013

Kisah Sebiji Epal

Dirimu sebiji epal yang ranum
Dahanmu terlalu tinggi
Hanya engkau sebiji
Tiada siapa yang melihatmu
Tiada siapa yang dapat mencapaimu
Hanya rama-rama dan burung yang tahu
Tanpa kau sedar
Kisahmu terdengar oleh seorang putera
Berhasrat memetikmu
Namun engkau cemburu
Rakan-rakanmu dipetik si dayang
Lantas menjadi hidangan
Lalu kau gugurkan dirimu
Jatuh ke tanah di tepi batu
Si batu hairan dan tercengang
Dikhabarkan hasrat putera memetikmu
Engkau terkedu
Sesaat itu putera tiba mencarimu
Dia kecewa kau tiada di situ
Dan lantas terus berlalu
Kini temanmu hanyalah batu
Putera tak nampak, dayang tak tahu
Sedangkan pohonmu di kebun Istana Biru

Sunday 7 April 2013

Dakwah Fardhiyyah

Apabila kita mendengar perkataan dakwah, kebanyakannya akan rasa gerun dan apabila diminta melakukan kerja dakwah berbagai alasan di kemukakan.

"saya tak banyak ilmu"

" saya bukan ustazah"

" saya tak pandai la nak mengajak orang ni"

"diri sendiri pun tak berapa betul macam mana saya nak betul kan orang lain"

Ini antara ayat-ayat yang diluahkan apabila dianjurkan perkataan yang bernama dakwah, yang mana antara kita sedar atau tidak dakwah merupakan kewajipan ke atas setiap insan yang bernama Muslim dan sebaik-baik perkataan ialah perkataan yang menyeru kepada Allah, firman Allah

" Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada
orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan 
kebajikan dan berkata, 'sungguh, aku termasuk orang-orang 
Muslim  (yang berserah diri)'"

Al- Fussilat: 33

Jadi apa pula dakwah fardhiyyah?? Secara mudahnya dakwah fardhiyyah ialah dakwah yang mana kita bukan sesiapa tetapi menyampaikan apa yang kita ada. salah satu keistimewaan nya ialah ia fleksibel, tak kira siapa kita, di mana kita berada dan dengan siapa kita berinteraksi.contohnya macam ni

" Ani, awak dah solat belum?"

" Jom solat jemaah sama-sama"

" awak malam ni ada ta'lim, jom kita pergi dengar"

" jangan lupa baca mathurat ye" 

Atau pun melalui perbuatan kita seperti bercakap perkara yang baik-baik, mengutip sampah di tepi jalan ke yang mana perbuatan kita tu mampu memberi kesedaran pada orang lain untuk sama-sama berbuat kebaikan. Mudahkan? kita tak perlu menjadi penceramah, tak pelu jadi ustazah tak perlu tunggu diri betul-betul sempurna untuk menjalankan kerja dakwah. Selagi ia perkara yang mengajak kepada kebaikan maka itu lah dakwah apa pun medium yang kita gunakan selagi tidak bertentangan dengan syariat..

Selamat beramal :)

Friday 29 March 2013

Indah Rerama

Di sebalik indah rerama yang kau lihat itu
Tersembunyi ranjau yang dihadapinya
Sebelum ia bisa menjadi penyejuk mata
Menjadi inspirasi bicara kata
Iktibar bagi insan yang berfikir
Sesungguhnya setiap ciptaan Allah itu tiada yang sia-sia

Disebalik indah rerama yang kau lihat itu
Tiada siapa yang dapat merasa
Lelahnya menjalani kitaran hidup berfasa
Sebelum bebas terbang melata
Malah menjadi ukiran karya

Disebalik indah rerama yang kau lihat itu
Tiada yang tahu bagaimana terlakar sayapnya
Adakah sang pari yang galak mewarna?
Setahu aku itu dongengan barat semata
Dan bagi kita
Itu rahsia yang Maha Pencipta

Dan disebalik indah rerama yang kau lihat itu
Hadirnya ia mewarnai dunia
Menjadi pengubat duka dan lara
Menghamparkan suasana yang ceria
Menjadi teman sang bunga
Mambawa makna bagi sesiapa yang mahu meneladaninya.



-snas-








Wednesday 27 March 2013

IIUM Sport Carnival 2013

Akhirnya aku ade jugak mase untuk update blog yang dah bersawang ni.. Kali ni nak cerita pasal ISC 2013 atau nama penuhnya seperti tajuk yang di atas. Ape yang best nya nak diceritakan pasal ISC ni? Mestila best sebab masa ni je la aku dapat main pingpong sukan kegemaran walaupun tak pandai mana mainnya..huhu.
Kalu ikutkan dah malas nak menyertai ISC (bajet macam dah bosan giler) tapi dapat mesej dari Mazatul Anis untuk join team Mahallah Ruqayyah maka ku pun join la, bila lagi nak berbakti untuk Mahallah Ruqayyah terchenta kan..hehe

Dah join team ku lihat rakan sepasukanku semuanya muka baru dan pelajar tahun 1, hanya Anis yang ku kenal..huhu, tapi takpe lah boley kenal sesama insan dalam kawasan mahallah, mengeratkan silaturrahim gitu.
Dengan kekangan masa yang cuma ada seminggu lebih untuk latihan akhirnya team Mahallah Ruqayyah berjaya merangkul emas untuk acara ping pong..hehe menebus kekalahan teruk tahun lepas walaupun beberapa konflik + kontroversi + suasana yang 'panas' melanda persekitaran tempat perlawanan.

Dan yang paling tak sangka, tahun ini aku dah memecah belah kan rekod sendiri, kena jadi maskot penguin untuk team perbarisan Mahallah Ruqayyah..huhu terasa malu di situ. tapi best jugak, dapat bergambar banyak2 hehe..

sebelum game bermula

teammates yang digeruni..anis & asma'

oh~ my PIC

medan pertarungan

rilex jap



menayang gold medal

the winner for female table tennis

teammates yang osem

Tuesday 1 January 2013

Gelanggang Kenangan II

Kita satu pasukan
Pemain utama yang selalu diturunkan
Single dan regu jadi taruhan
Masing-masing memainkan peranan
Demi sebuah kejuaraan
Demi maruah dan kemenangan
Dan demi sebuah impian
Di sini telah terlukis
Telah terjaring garis-garis persahabatan
Yang terpahat kukuh di ingatan
Telah terlakar ceritera cinta 
Yang tidak kesampaian
Gelanggang itulah yang menjadi saksi
Suka duka dan gelak ketawa kami
Yang telah terbingkai sebagai memori
Yang tak mungkin kembali
Kerana ruang masa merubahi
Yang tinggal cuma rangka-rangka sepi
Seakan tak bisa lagi menggamit kami
Lalu ia lebih rela diganti
Agar lebih dihargai generasi