Saturday 30 November 2013

Khilaf

Dalam sehari detik yang berlalu
Terkadang ada waktu-waktu kita terlepas pandang
Terlepas pandang percakapan kita
Terlepas pandang perbuatan kita
Terlepas pandang tentang orang-orang di sekeliling kita
Tanpa kita sedar
Kesilapan yang tak sepatutnya terjadi
Itulah yang berlaku
Tanpa sempat kita sedar
Mereka berjauh hati
Mereka sakit hati
Mereka mengukir rasa benci
Dan apabila kita menyedari
Akan khilaf kecuaian diri
Ada suara-suara mencemuh kedengaran
Ada mata-mata jelik memandang
Ada rasa panas bertebaran
Dan rasa bersalah itu tak mampu lagi berjauhan
Dan lafaz kemaafan itulah yang diharapkan
Atas kesilapan yang tak disengajakan

Disebalik kegelisahan yang memburu
Curi sedikit masa bertanya pada dirimu
Mengapa khilaf ini berlaku?
Buka luas-luas matamu
Mengapa kau di uji sebegitu?
Bentangkan kelapangan hatimu
Sesungguhnya itu ketentuan Rabb mu
Barangkali Dia mahu menegur kepincangan akhlakmu
Barangkali Dia tak mahu mereka bersama denganmu
Barangkali Dia mahu didik kekentalan hatimu
Barangkali Dia mahu menyatakan rindu
Rindu pada munajat zikir mu
Rindu pada rintihan permintaanmu
Rindu pada tangisan airmata penyesalanmu
Barangkali Dia mahu memberitahu
Tempatmu bukan di situ.

Dan ketika hatimu resah bertalu
Kerana satu dunia berpaling darimu
Pujuklah ia akan hikmah yang bakal bertamu
Katakan padanya manusia memang begitu
Berbuat salah bagaikan sesuatu yang perlu
Kerana manusia tak sempurna seperti Dia Yang Satu
Kerana kita insan biasa yang tidak maksum
Sesungguhnya Allah Maha Tahu
Apa yang terbuku dalam hatimu
Hanya redhaNya yang kita perlu

Jadi, andai tiada sesiapa yang berpihak padamu
Hanya kerana sepincing khilaf yang lalu
Teguhkan langkah kakimu
Atas jalan yang terhampar di hadapanmu
Kerana akan tiba satu waktu
Suara-suara tadi diam membisu
Mata-mata tadi tak terarah padamu
Dan panas membahang tadi sejuk membeku
Dan sebelum semua itu berlaku
Kembalikan, sandarkan hatimu
Pada Dia yang tak akan pernah mati.


No comments:

Post a Comment