Saturday 30 November 2013

Khilaf

Dalam sehari detik yang berlalu
Terkadang ada waktu-waktu kita terlepas pandang
Terlepas pandang percakapan kita
Terlepas pandang perbuatan kita
Terlepas pandang tentang orang-orang di sekeliling kita
Tanpa kita sedar
Kesilapan yang tak sepatutnya terjadi
Itulah yang berlaku
Tanpa sempat kita sedar
Mereka berjauh hati
Mereka sakit hati
Mereka mengukir rasa benci
Dan apabila kita menyedari
Akan khilaf kecuaian diri
Ada suara-suara mencemuh kedengaran
Ada mata-mata jelik memandang
Ada rasa panas bertebaran
Dan rasa bersalah itu tak mampu lagi berjauhan
Dan lafaz kemaafan itulah yang diharapkan
Atas kesilapan yang tak disengajakan

Disebalik kegelisahan yang memburu
Curi sedikit masa bertanya pada dirimu
Mengapa khilaf ini berlaku?
Buka luas-luas matamu
Mengapa kau di uji sebegitu?
Bentangkan kelapangan hatimu
Sesungguhnya itu ketentuan Rabb mu
Barangkali Dia mahu menegur kepincangan akhlakmu
Barangkali Dia tak mahu mereka bersama denganmu
Barangkali Dia mahu didik kekentalan hatimu
Barangkali Dia mahu menyatakan rindu
Rindu pada munajat zikir mu
Rindu pada rintihan permintaanmu
Rindu pada tangisan airmata penyesalanmu
Barangkali Dia mahu memberitahu
Tempatmu bukan di situ.

Dan ketika hatimu resah bertalu
Kerana satu dunia berpaling darimu
Pujuklah ia akan hikmah yang bakal bertamu
Katakan padanya manusia memang begitu
Berbuat salah bagaikan sesuatu yang perlu
Kerana manusia tak sempurna seperti Dia Yang Satu
Kerana kita insan biasa yang tidak maksum
Sesungguhnya Allah Maha Tahu
Apa yang terbuku dalam hatimu
Hanya redhaNya yang kita perlu

Jadi, andai tiada sesiapa yang berpihak padamu
Hanya kerana sepincing khilaf yang lalu
Teguhkan langkah kakimu
Atas jalan yang terhampar di hadapanmu
Kerana akan tiba satu waktu
Suara-suara tadi diam membisu
Mata-mata tadi tak terarah padamu
Dan panas membahang tadi sejuk membeku
Dan sebelum semua itu berlaku
Kembalikan, sandarkan hatimu
Pada Dia yang tak akan pernah mati.


Saturday 23 November 2013

Pengajaran Dari Sebuah Kisah

Semalam dan hari ini dua kali berturut-turut mendengar cerita kisah pemuda yang membunuh 99 orang, kemudian menemui ahli ibadat dan bertanya adakah jalan untuk dia bertaubat lalu ahli ibadat tersebut menjawab tidak ada taubat bagi pemuda itu, kecewa dengan jawapan tersebut maka dibunuh nya ahli ibadat tersebut menjadikan bilangan orng dibunuhnya 100 orang. Kemudian dia berjalan lagi dan menemui orang alim dan bertanyakan hal yang sama lalu orang alim itu menjawab " keluarlah kamu wahai pemuda dari kampung yang penduduknya yang jahil, pergilah kamu ke sebuah kampung yang mana penduduknya merupakan orang yang salih. Maka berjalanlah pemuda tersebut menuju kampung yang dimaksudkan, dalam perjalanan tersebut beliau meninggal dunia, lalu berebutlah malaikat azab dan malaikat rahmat akan hak ke atas roh pemuda tersebut. Malaikat azab mengatakan bahawa pemuda itu miliknya kerana seumur hidupnya tidak pernah berbuat kebaikan malah sentiasa melakukan kejahatan, maka nerakalah tempatnya, akan tetapi malaikat rahmat mengatakan pemuda tersebut miliknya kerana beliau dalam perjalanan menuju kebaikan. Lalu Allah mengutuskan malaikat lain untuk meleraikan persengketaan tersebut dengan memberi penyelesaian supaya mengukur jarak tempat pemuda tersebut meninggal dengan kampung yang ditinggalkan dan kampung yang ditujuinya, yang mana lebih dekat maka pemuda itu miliknya. Setelah diukur nyatalah tempat pemuda tersebut meninggal lebih dekat dengan kampung ditujuinya dengan kelebihan sejengkal ke atas kampung yang ditinggalkan. Maka pemuda itu menjadi milik malaikat rahmat dan rohnya dibawa ke syurga.

Pengajaran hari semalam: Terdengar seorang ustaz memberi tazkirah di TV9 menceritakan tentang jiran, beliau meng'hilight'kan cerita ini untuk memberi gambaran tentang jiran yang baik akan memberi kesan yang baik kepada kita begitulah juga sebaliknya. Beliau juga menyatakan, sebelum mencari tempat tinggal hendaklah diselidiki siapa orang yang bakal menjadi jiran kita,jika mereka jiran yang baik maka tinggallah di situ jika tidak usahalah mencari tempat yang lebih baik. Jika sekiranya kita tiada pilihan lain, tinggallah di situ dan jadilah jiran yang baik kepada jiran kita supaya kita dapat memberi kesan kepadanya seterusnya dia turut menjadi jiran yang baik.

Pengajaran hari ini: Dr. Ala'a Hosni meng'hilight'kan kisah ini bagi menerangkan kepentingan persekitaran yang baik (good environmnet) dalam keluarga Islam akan melahirkan generasi pemuda Islam yang berkualiti untuk meneruskan legasi kegemilangan Islam. Untuk melahirkan suasana yang baik dalam keluarga komunikasi dua hala antara suami-isteri dan ibubapa-anak2 sangat lah penting,hormat menghormati, menggunakan perkataan yang baik, berlaku jujur, berbincang bagi setiap permasalahan yang berlaku dan yang paling penting bersikap terbuka sesama ahli keluarga. Selain itu, untuk menghasilkan suasana yang baik dalam rumah tangga ialah dengan memasang alunan ayat suci al-Quran di dalam rumah, bersolat jama'ah, halaqah mingguan, dekorasi rumah yang Islamik dan yang paling penting mesti ada satu perpustakaan bagi mendidik ahli rumah belajar mencintai ilmu..wallahualam