Thursday 1 December 2011

Jangan Menangis


Airmata,
Jangan kau singgah di tubir
Andainya waktu itu
Sebak menjengah hati
Kerana sekeping hatimu telah disakiti
Kerana cintamu dikhianati

Airmata,
Jangan cuba-cuba kau mengalir
Kiranya saat itu
Hatimu terasa sedih
Kerana sahabatmu mengundur diri
Kerana salah faham terjadi

Airmata,
Jangan sesekali kau lencun di pipi
Walau saat itu
Hatimu sesal sekali
Kerana kali ini kegagalan menguji
Kerana salahmu sendiri

Airmata,
Jangan sapu tangan kau basahi
Waima detik ini
Hatimu resah gelisah
Kerana hatimu bertitik noda
Kerana ampunan sedang kau pinta

Jangan kau salah sangka wahai airmata
Bukan niat ku menghalang mu
Menonjol diri
Aku juga tak terpedaya dengan kata-kata
Airmata tanda kelemahan
Aku tidak menyangkal dakwaan
Menangis dapat menenangkan

Tapi aku tak ingin perkara ini terjadi
Insan-insan menabur simpati
Yang belum tentu dari hati
Teman-teman berfikir aku sedih
Lalu mereka turut menangis
Musuhku memandang sinis
Kau anak manja.

Jangan merajuk airmataku
Kerana aku akan mebiarkanmu bebas
Tapi bukan di sini
Kau akan ku lepas
Saat aku bersendiri
Menyesali khilafku
Mengenang nasibku
Meraikan kegembiraanku
Di mana waktu itu
Hanya ada aku dan Tuhanku…


No comments:

Post a Comment